Rais Yasin menerima cenderahati Dr Ahmad Tajuddin selepas merasmikan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka 2022 di Hotel Lacrista, Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Rais Yasin menerima cenderahati Dr Ahmad Tajuddin selepas merasmikan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka 2022 di Hotel Lacrista, Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Jabatan Pendidikan negeri diarah mencari kaedah sesuai bagi memantau keselamatan pelajar yang dikatakan terdedah kepada ancaman culik seperti berlaku di beberapa negeri sejak akhir-akhir ini.

EXCO Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, usaha itu adalah sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan Melaka turut menjadi sasaran penjenayah berkenaan.

Katanya, sehubungan itu, satu mesyuarat khas bersama Jabatan Pendidikan negeri dan semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk mencari kaedah bagi mengelakkan kejadian itu berlaku.

"Pada mesyuarat itu nanti, mungkin boleh diusulkan satu kerjasama membabitkan jabatan, sekolah dan PIBG untuk mengetatkan lagi kawalan keselamatan pelajar di sekolah.

"Saya beri jaminan, mesyuarat itu akan segera diadakan supaya segala usaha menjaga keselamatan pelajar sekolah dapat dilakukan dan pada masa sama tidak menyusahkan ibu bapa," katanya selepas merasmikan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka 2022 di Hotel Lacrista, di sini, tadi

Turut hadir Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Baru-baru ini, laporan mengenai sekolah di Kelantan memberi peringatan kepada ibu bapa berhubung kes penculikan.

Ada sekolah mengeluarkan surat peringatan kepada ibu bapa mulai hari ini, manakala terdapat juga sekolah memuat naik arahan terbabit dalam kumpulan WhatsApp.

Terdahulu, tular notis peringatan yang dikeluarkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) di Machang, Kelantan, yang bertajuk 'Makluman Risiko Culik'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 4:03 PM