ROSOL ketika meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Kampung Beladau Kepong. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
ROSOL ketika meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Kampung Beladau Kepong. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) boleh mengarahkan penjual atau plaftorm e-dagang menurunkan iklan penjualan telur penyu yang diharamkan penjualannya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, kementeriannya bersedia membantu bagi memastikan penyedia platform e-dagang turut memainkan tanggungjawab membanteras penjualan telur penyu.

"Kita mohon kepada pihak berkaitan seperti Jabatan Perikanan Malaysia atau kerajaan negeri untuk maklum kepada kita supaya iklan berkaitan penjualan telur penyu di platform e-dagang diturunkan.

"Itu yang boleh kita (KPDNHEP) bantu sebab ia (telur penyu) ini di bawah bidang kuasa mereka.

"Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa aduan daripada mana-mana pihak berkaitan penjualan telur penyu ini secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Kampung Beladau Kepong di sini hari ini.

Sebelum ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada November tahun lalu dengan sebulat suara meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) untuk mengharamkan penjualan semua jenis telur penyu demi menjaga kelestariannya.

Bagaimanapun, mutakhir ini terdapat peniaga tidak bertanggungjawab yang menjual telur penyu di platform e-dagang.

Dalam pada itu, Rosol turut meminta pengguna supaya berhati-hati ketika membeli barangan khususnya makanan termasuk di platform e-dagang selain memastikan produk yang dijual itu menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau badan pensijilan luar negara yang diiktiraf jabatan itu.

Beliau berkata, ia susulan isu membabitkan produk gula-gula yang didakwa mengandungi unsur babi dan lengkap dengan logo halal yang tidak diiktiraf Jakim itu.

"Siasatan mendapati kes itu berlaku di luar negara tetapi kita tetap membuat pemantauan terutama di platform e-dagang dan kita meminta pengguna supaya lebih prihatin.

"Apabila isu-isu halal ini, ia memang sensitif dan kita harap pengguna peka, jangan nampak sedap, nampak menarik beliā€¦ halal itu suatu yang penting.

"Kita di kementerian pantau isu ini dan pada masa sama, kita mengharapkan orang ramai yang mempunyai maklumat dapat menyalurkan kepada kita supaya tindakan selanjutnya dapat diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 6:24 PM