GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Belanjawan 2023 adalah manifestasi dan komitmen kerajaan untuk membangun dan memacu pemulihan ekonomi negara di samping merapatkan jurang sosial masyarakat.

Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, pihaknya menyambut baik Belanjawan 2023 yang secara langsung akan menyokong usaha Malaysia dalam mempromosi, mempertahan dan melindungi kepentingan negara di persada dunia.

Menurutnya, usaha ini adalah bersandarkan kepada Kerangka Dasar Luar Malaysia Pasca Pandemik serta Pelan Strategik Kementerian 2021-2025.

"KLN akan terus bekerjasama dan menggembleng usaha secara strategik dengan Kementerian dan agensi berkaitan ke arah mencapai matlamat ini.

"Secara keseluruhannya, KLN diperuntukkan sebanyak RM971,134,100 bagi 2023 berbanding RM868,506,400 pada 2022," katanya dalam kenyataan hari ini

Menurut KLN, daripada jumlah itu, sejumlah RM809,613,800 diperuntukkan bagi Belanja Mengurus manakala sejumlah RM161,520,300 diperuntukkan bagi Belanja Pembangunan Tahun 2023.

"Kedua-dua peruntukan ini mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 6.49 peratus dan 49.28 peratus berbanding peruntukan yang diluluskan pada tahun 2022.

"Pertambahan dalam peruntukan ini akan terus dimanfaatkan ke arah usaha memperkukuh dan mempertahankan kepentingan strategik negara dalam isu-isu global, antaranya keamanan sejagat, keterjaminan makanan, pembangunan mampan dan perubahan iklim, di samping mempromosi konsep Malaysia Madani di persada antarabangsa," katanya.

Katanya, KLN akan turut memberi penekanan kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negara termasuk memudah cara pelaburan asing ke Malaysia dan pelaburan Malaysia ke luar negara.

"Belanjawan 2023 ini akan memastikan KLN dapat terus memberikan perkhidmatan berpaksikan rakyat secara telus, pantas dan berkesan.

"Ini termasuk usaha mentransformasikan perkhidmatan konsular yang juga titik sentuh secara langsung dengan rakyat bagi mempertingkatkan keberkesanan sistem penyampaian Kementerian.

"KLN turut memperkasakan penyampaian perkhidmatan konsular secara digital sejajar dengan perkembangan teknologi semasa'

"Selain itu meningkatkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di luar negara, termasuk memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang terbabit dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan," katanya.

Katanya, Belanjawan 2023 juga akan dimanfaatkan bagi menaik taraf infrastruktur KLN di dalam dan luar negara, menambah baik kebajikan pegawai serta pemerkasaan program pembangunan modal insan.

"KLN sentiasa komited dalam menyampaikan perkhidmatan luar negeri yang unggul dan menyumbang ke arah merealisasikan aspirasi negara.

"Belanjawan 2023 yang dibentangkan di Parlimen ini dilihat dapat mengukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan Kementerian yang lebih responsif, peduli rakyat dan berintegriti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 10:49 AM