Aizat Sharif

Padang Besar: Tatkala menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, minda pengurus alat siar raya dan pengacara majlis keramaian, Mohamad Nasir Yaacob, 49, ligat berputar memikirkan lakaran yang ingin dilukisnya di dinding rumahnya sebagai mural patriotik untuk mengenang perjuangan serta kemajuan negara.

Malah, kibaran Jalur Gemilang serta bendera negeri di Malaysia yang turut menjadi hiasan di sekeliling rumahnya di Banggol Sena, Chuping di sini, menambahkan lagi keazaman dirinya untuk menjadikan sambutan Hari Malaysia yang ke-59 di rumahnya penuh bererti.

Walaupun ada pihak yang mengkritik tindakannya umpama menjadikan kediaman seperti Tadika namun dia yang cukup dikenali sebagai DJ Benjo dalam kalangan masyarakat tidak pernah ambil peduli.

Malah, dia bangga kerana dapat meluahkan ekspresi kecintaan terhadap negara menerusi lukisan mural di dinding rumah dua tingkatnya itu.

"Lazimnya, kecintaan terhadap negara ini hanya dizahirkan ketika sambutan Hari Kebangsaan sahaja dan surut tatkala berlangsungnya Hari Malaysia, tetapi tidak bagi saya kerana kedua-dua hari ini sama penting bagi saya kerana selain 31 Ogos 1957, tarikh 16 September 1963 adalah tarikh keramat buat negara kerana terbinanya Malaysia secara rasmi pada waktu itu.

"Rasa kebanggaan ini saya zahirkan pada mural patriot di dinding rumah. Saya ambil masa hampir seminggu untuk menyiapkan mural ini sebagai sambutan Hari Malaysia. Perkara ini sudah saya lakukan sejak bertahun lalu," katanya ditemui di kediamannya.

Menurutnya, sebelum dilukis, dia akan memulakan kerja itu dengan menghasilkan lakaran pada kertas sebelum menghasilkan blok lukisan.

Manakala lukisan di dinding pula dihasilkan sama ada menggunakan penyembur cat atau cat warna.

"Ada yang persoal mengapa saya sanggup 'korbankan' dinding rumah saya demi mural Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, ada yang secara berseloroh mengatakan rumah saya kini sudah menjadi seperti Tadika.

"Bagi saya, ini adalah ekspresi dan apresiasi saya kepada negara malah usaha ini turut mendapat sokongan keluarga.

"Ia bukan sekadar mural patriotik sebaliknya ia membantu mendidik generasi muda mengenai kenegaraan yang mana saya selitkan juga di dinding ini elemen seperti bunga raya, peta Perlis serta Rukun Negara," katanya.

Usahanya itu turut mendapat perhatian wakil Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang melawat rumahnya untuk melakukan penilaian keceriaan patriotik kawasan Rukun Tetangga (KRT) Banggol Sena.

Mohamad Nasir berkata, usaha itu akan terus dijalankan setiap tahun dan sempena Hari Malaysia yang disambut esok, dia mengharapkan agar perpaduan dalam kalangan rakyat terus kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 12:57 PM
MOHAMAD Nasir meninjau dan memperkemaskan mural patriotik yang dilukis di dinding rumahnya di Banggol Sena, Chuping sempena sambutan Hari Malaysia. FOTO Aizat Sharif
MOHAMAD Nasir meninjau dan memperkemaskan mural patriotik yang dilukis di dinding rumahnya di Banggol Sena, Chuping sempena sambutan Hari Malaysia. FOTO Aizat Sharif