HISHAMMUDDIN bersama murid SK Kementah. FOTO Rohanis Shukri.
HISHAMMUDDIN bersama murid SK Kementah. FOTO Rohanis Shukri.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) memperuntukkan RM8 juta bagi kerja penyelenggaraan segera fasiliti di sekolah dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, antara kerja selenggara yang akan dilaksanakan membabitkan fasiliti asas dan pendawaian elektrik.

Menurutnya, melalui peruntukan itu ia bakal memanfaatkan lebih 20,000 pelajar dan lebih 2,000 guru serta kakitangan sokongan.

"Peruntukan yang diumumkan hari ini hanya sebahagian daripada pelbagai lagi inisiatif pendidikan ATM yang sudah dan akan dilaksanakan.

"Antaranya, Mindef turut merancang untuk memanjangkan inisiatif Studio Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan Kelas Abad Ke-21 seperti yang ada di Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah ini ke sekolah dalam Kem ATM di seluruh negara," katanya pada sidang media hari ini.

 Hishammuddin melawat Sekolah Kebangsaan Kementah. FOTO Rohanis Shukri.
Hishammuddin melawat Sekolah Kebangsaan Kementah. FOTO Rohanis Shukri.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan di SK Kementah dan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Desa Tun Hussein Onn (DTHO), di sini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, berdasarkan tinjauan hari ini, dan maklum balas warga sekolah serta Bahagian Pendidikan ATM, Mindef sudah mengenalpasti beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan segera.

"Berhubung lawatan ke RKMAT pula, saya sempat meninjau beberapa blok kediaman seterusnya mendapatkan taklimat mengenai keadaan semasa fasiliti serta infrastruktur di RKMAT DTHO ini dan RKMAT Jalan U-Thant.

"Hasil daripada tinjauan dan taklimat ini, saya ingin memaklumkan peruntukan sebanyak RM1 juta diluluskan Mindef bagi tujuan senggaraan segera di RKMAT DTHO dan Jalan U-Thant," katanya.

Beliau sudah mengarahkan supaya kerja senggaraan dilaksanakan secepat mungkin demi keselesaan penghuni dua RKMAT ini.

"Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 5:37 PM