ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa banjir di Batu Pahat. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa banjir di Batu Pahat. FOTO ihsan Bomba
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Hujan lebat sejak 3 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat.

Antara kawasan yang terjejas termasuk pekan Sri Gading, Kampung Sri Gading, Kampung Sengkuang dan Kampung Baru Sri Gading.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Firdaus Ahmad berkata, hujan lebat dan air pasang menyebabkan air tidak dapat keluar dengan cepat ke Sungai Simpang Kanan.

"Pihak bomba menerima laporan pada 3.57 pagi dan mendapati paras air di lokasi dilaporkan naik mendadak setinggi 1 meter.

"Banjir kilat berkenaan melibatkan 16 mangsa terdiri daripada lima keluarga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa yang terjejas banjir telah dipindahkan oleh ahli keluarga.

"Keadaan cuaca semasa adalah cerah dan tiada hujan serta paras air banjir semakin menurun.

"Sehingga kini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan pihak bomba akan terus memantau keadaan banjir di sekitar kawasan yang terjejas secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 12:22 PM