Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Inisiatif Malaysia Digital (MD) yang dilancarkan Julai lalu berjaya meraih nilai pelaburan digital langsung asing RM42 bilion dalam tempoh dua bulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai itu dijana melalui pelaburan 28 syarikat asing terdiri daripada syarikat dalam sektor pusat data, penyedia perkhidmatan teknologi maklumat, teknologi kandungan kreatif dan perkhidmatan perniagaan global.

"Kejayaan ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, membantu merancakkan inovasi seterusnya melonjakkan lagi ekonomi digital.

"Sementara itu, perkembangan pelaburan digital langsung domestik setakat 24 Ogos lalu pula merekodkan RM4.76 bilion," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini, hari ini.

WCIT 2022 yang dihadiri lebih 4,000 peserta dari lebih 80 negara itu dirasmikan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Ismail Sabri berkata, menerusi usaha itu, 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi sudah diwujudkan dan peluang seumpama itu akan terus meningkat pada masa akan datang.

Kata beliau, semua pencapaian positif sedemikian telah meletakkan Malaysia pada kedudukan terbaik bagi mencapai sasaran pelaburan digital RM70 bilion menjelang 2025 selaras Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Ismail Sabri turut berharap kerjasama rentas kementerian dengan agensi yang terjalin erat pada hari ini dapat dilipatgandakan dalam usaha merangsang ekosistem teknologi dan inovasi demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

"Teknologi digital berperanan penting dalam menangani isu perubahan iklim seperti dilaporkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dengan pemerkasaan teknologi digital dapat mengurangkan 15 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030.

"Keperluan memperkasakan teknologi digital bagi menangani isu sekuriti makanan negara dan tenaga, misalnya pertanian pintar teknologi digital, berupaya mengurangkan penggunaan buruh dan meningkatkan produktiviti, sekali gus menjamin rantaian bekalan makanan global yang mampan," katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat pandemik Covid-19 menjadi pendorong utama bidang teknologi digital dalam penjagaan kesihatan dengan penggunaannya bukan sahaja mampu membendung penularan wabak itu bahkan berupaya meningkatkan akses kepada kesedaran penyakit-penyakit lain serta risikonya, termasuk kesihatan mental.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, penganjuran WCIT 2022 dilihat mampu melonjakkan Malaysia sebagai negara digital berdaya saing.

Pada masa sama, ia berupaya memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam ekosistem teknologi dan inovasi.

"Kerajaan berharap WCIT 2022 ini dapat melakar sejarah baharu dalam menarik lebih banyak pelaburan digital asing sebagai usaha memacu sektor teknologi dan inovasi.

"Kerajaan juga berharap platform ini digunakan sebaik-baiknya dalam membincang, mengilham serta mencetuskan idea baharu dalam perkembangan teknologi dan inovasi negara ke persada antarabangsa," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 1:11 PM
Ismail Sabri berucap pada Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2022 di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini. FOTO DANIAL SAAD
Ismail Sabri berucap pada Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2022 di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini. FOTO DANIAL SAAD