Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan pembukaan Canton Fair Ke-130 secara maya hari ini.
Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan pembukaan Canton Fair Ke-130 secara maya hari ini.
Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: Ekonomi digital, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan pembangunan lestari antara potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tiga bidang terbabit antara potensi yang belum diterokai sepenuhnya walaupun pelaburan dan perdagangan antara dua negara semakin berkembang sejak 2009.

Menurutnya, China terus menjadi rakan perdagangan terbesar negara merangkumi 18.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu.

"Bagi memacu transformasi digital, Malaysia pada awal tahun ini melancarkan inisiatif MyDIGITAL yang menjadi sebahagian perancangan kerajaan meningkatkan kemajuan negara dalam ekonomi teknologi berdaya tinggi menjelang 2030.

"Inisiatif ini dilaksanakan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. Antara lain MyDIGITAL menyasarkan untuk menarik kira-kira 17.32 bilion dolar Amerika Syarikat (RM71.95 bilion) pelaburan digital tempatan dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Pameran Import dan Eksport China (Canton Fair) Ke-130 secara maya hari ini.

Ismail Sabri berkata, Malaysia turut melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) sebagai platform menuju ke arah digitalisasi yang lebih luas dalam mengimbangi sinergi dunia digital dan fizikal untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing berdasarkan pendekatan menyeluruh perkongsian masyarakat, swasta dan awam.

"Ia termasuk membangunkan infrastruktur berasaskan 4IR bagi penggunaan teknologi yang lebih luas. Semua ini adalah untuk memenuhi keperluan perniagaan dalam ekonomi digital selain memacu inovasi dan adaptasi teknologi.

"Ketiga adalah mengadaptasi pembangunan lestari. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kelestarian sumber tenaga dikenal pasti sebagai satu faktor utama dalam dimensi pemerkasaan ekonomi yang mana dimesi ini merangkumi tumpuan ekonomi, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan mitigasi perubahan iklim," katanya.

Perdana Menteri berkata, tiga bidang terbabit menjadi dasar perdagangan dan pelaburan China sejak dahulu dan termaktub dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

"Malaysia antara negara pertama yang menyokong BRI dan kami menegaskan keyakinan bahawa ini adalah inisiatif strategik dan berpandangan ke hadapan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai hubungan perdagangan kedua-dua negara, Ismail Sabri berkata, selain menjadi sumber import terbesar negara, eksport Malaysia ke China pada tahun lalu berkembang sebanyak 11.1 peratus merangkumi 37.77 bilion dolar Amerika Syarikat (RM156.9 bilion).

Malah, China menjadi pelabur tertinggi di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak 4.41 bilion dolar Amerika Syarikat (RM18.32 bilion) tahun lalu dan kedudukan itu kekal sejak 2016.

"Malah, sebanyak 71 projek pembuatan dengan penyertaan China diluluskan pada tahun lalu dan dijangka menjana lebih 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia," katanya.

Justeru, beliau berkata, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Malaysia menyokong semangat kerjasama kedua-dua negara untuk masa depan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 10:09 PM