BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menubuhkan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia yang antara lain menentukan hala tuju strategik dan memperkasakan ekosistem bioteknologi berorientasikan kepada pulangan nilai (RoV), kebaikan awam dan kesejahteraan masyarakat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata gabungan yang melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasas bioteknologi itu juga akan mewujudkan satu badan penasihat pakar bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara.

Ia termasuk mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasakan tiga sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0).

"Gabungan ini juga berperanan menyokong impak, pasaran dan permintaan yang didorong penyelidikan dan pembangunan (R&D) bioteknologi yang memfokuskan kepada pembangunan eksperimen.

"Selain itu, MOSTI (Kementerian Sains, Tekonologi dan Inovasi) menerusi Malaysia Science Endowment akan bekerjasama dengan pemain industri, badan tempatan dan antarabangsa untuk mewujudkan dana alternatif bioteknologi," katanya pada majlis pelancaran DBN 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.

ISMAIL Sabri diiringi Adham melihat bekas makanan yang dibuat daripada jerami padi ketika Majlis Pelancaran Dasar Teknologi Negara 2.0 (DBN 2.0), hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ISMAIL Sabri diiringi Adham melihat bekas makanan yang dibuat daripada jerami padi ketika Majlis Pelancaran Dasar Teknologi Negara 2.0 (DBN 2.0), hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 6:08 PM