APMM dengan kerjasama ABF menggagalkan percubaan menyeludup masuk 60 imigran. FOTO ihsan APMM
APMM dengan kerjasama ABF menggagalkan percubaan menyeludup masuk 60 imigran. FOTO ihsan APMM
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kerjasama Australian Border Force (ABF) menggagalkan percubaan menyeludup masuk 60 imigran disyaki etnik Rohingya dan warga Myanmar di perairan Pulau Pinang ketika Operasi Redback XVII 2022, 1 September lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, kesemua pendatang tanpa izin (PATI) terbabit yang menaiki bot kayu dikesan kira-kira 3 batu nautika barat Sungai Pinang, Balik Pulau dan diusir keluar dari perairan negeri tanpa kompromi.

"Lapan PATI warga Myanmar turut ditahan di perairan Pulau Pinang atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada 5 September lalu, 13 bot nelayan Indonesia turut diusir keluar dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira 67 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

"Usaha itu berjaya dilakukan hasil pengesanan yang dilakukan oleh pesawat APMM jenis Bombardier CL 415 MP," katanya pada Majlis Penutup Operasi Redback XVII 2022 di Teluk Bahang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Komander Pasukan Petugas Agensi, Operasi Sempadan Berdaulat ABF, Ky Blackman.

Hamid berkata, secara keseluruhannya Operasi Redback ke-17 yang bermula 26 Ogos hingga 9 September melaksanakan 178 pemeriksaan dan penggeladahan ke atas kapal dengan tiga tangkapan serta dua pengusiran.

Tambahnya, APMM dan ABF turut melaksanakan program Inisiatif Bertanya Khabar bertujuan memberi penjelasan secara santai di samping menyantuni komuniti maritim setempat di beberapa lokasi seperti Kuala Sungai Juru, Seberang Perai; Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan Kuala Sungai Pinang di Balik Pulau.

BLACKMAN (dua kanan) menyampaikan cenderahati kenangan kepada Hamid. FOTO ihsan APMM
BLACKMAN (dua kanan) menyampaikan cenderahati kenangan kepada Hamid. FOTO ihsan APMM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 2:11 PM