MOHD Yusof. FOTO Arkib NSTP
MOHD Yusof. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) giat mengesan pemimpin tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang dipercayai sudah berada di negara ini sejak 21 Ogos lalu.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, sebelum ini pemimpin terbabit dilaporkan berada di Makkah bersama beberapa pengikutnya tetapi diarahkan pihak berkuasa Arab Saudi pulang ke Malaysia.

Katanya, JMNS memerlukan Habib Shah Firdaus tampil ke jabatan itu secepat mungkin untuk siasatan lanjut dan tindakan berkaitan urusan membatalkan amalan tarekat dibawanya kerana bercanggah dengan syarak.

"Hasil siasatan JMNS mendapati amalan yang dilakukan Habib Shah Firdaus bertentangan dengan hukum syarak dan sebab itu kita mengeluarkan arahan menutup pusat pengamalan tarekat berkenaan di Labu, Seremban, sejak 3 Ogos lalu.

"Namun, kita mahu beliau tampil untuk menyatakan pendiriannya sendiri terutama berhubung kenyataan dan dakwaannya bahawa Imam Mahadi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penutup Program Irsyad Al-Fatwa Perdana Sempena 25 tahun Jabatan Mufti Negeri Sembilan di Dewan Utama d'Tempat, Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha menghubungi Habib Shah Firdaus setakat ini juga gagal kerana nombor telefon yang digunakan tidak ada maklum balas.

Sebelum ini, JMNS bertindak menutup pusat pengamalan tarekat berkenaan yang beroperasi di Lot 3263, Jalan Labu Batu 8, Kampung Jawa, Labu, di sini, bermula 3 Ogos lalu.

Habib Shah Firdaus didakwa melakukan perbuatan atau amalan yang bercanggah amalan tarekat tasawuf mengikut perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:02 PM