Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Polis mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan perlombongan bijih besi di Kampung Labohan Dagang di sini, hari ini

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh bagaimanapun berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

"Kira-kira jam 6.40 petang tadi, polis membuat siasatan dan mendapati tempat kejadian tanah runtuh adalah lombong bijih besi di kawasan Labohan Dagang di Banting.

"Semasa tiba di lokasi, polis berjumpa dengan seorang pekerja yang mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh itu. Siasatan mendapati jentera mesin jengkaut tertimbus oleh runtuhan tanah dan pemandunya sempat menyelamatkan diri.

"Dalam kejadian ini tiada kemalangan jiwa dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Usaha mengeluarkan jengkaut itu sedang giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KEADAAN jengkaut sebelum tertimbus. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN jengkaut sebelum tertimbus. FOTO Ihsan Pembaca

Terdahulu, tular di media sosial satu video yang memaparkan kejadian berkenaan sejak beberapa jam lalu.

Video berdurasi 0.17 saat itu memaparkan tanah runtuh dan pergerakan seperti aliran air yang deras menghanyutkan jengkaut dan barang-barang di kawasan lombong berkenaan.

Malah individu yang merakam kejadian berkenaan sempat menjerit dan meminta rakannya yang berada di dalam jengkaut itu melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 10:03 PM