DATUK Seri Najib Razak. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Najib Razak. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bapanya mengalami sakit perut ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Nooryana Najwa menerusi hantaran InstaStory hari ini memaklumkan bapanya itu sememangnya sering mengalami masalah perut yang berulang.

"Daddy (Najib) sangat terdedah kepada ulser perut yang boleh berlaku di bawah tekanan atau disebabkan gastrik.

"Kali terakhir daddy kena ulser perut tahun lalu sehingga pengsan akibat pendarahan dalaman dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu untuk rawatan susulan," katanya.

Menurutnya, Najib seorang yang susah untuk mengadu mengenai kesakitan yang dialaminya kerana tidak mahu menyusahkan orang lain sehingga sanggup merisikokan diri sendiri.

"Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan kesihatan dan kekuatan daddy.

"Kami sangat berharap daddy mendapat pemeriksaan dan rawatan dengan kerap jika diperlukan oleh pihak penjara dan hospital," katanya.

Katanya, dia dan keluarga berharap bapanya itu mendapat rawatan yang sepenuhnya bagi memastikan tahap kesihatan Najib kembali pulih dengan baik.

"Tolong jagakan daddy kami dan Bossku. Dia amat bermakna buat kami.

"Semoga Allah merahmati kami semua," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pegawai Khasnya, Muhamad Mukhlis Maghribi berkata, bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke HKL dan sedang menerima rawatan.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib.

Bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 4:57 PM