Aizat Sharif


Kangar: Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs), hari ini mula mengenakan kompaun terhadap premis perniagaan di Perlis yang didapati masih berdegil tidak mengibarkan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan bulan ini.

Yang DiPertua MPKPs, Norazlan Yahaya berkata, hampir 7,000 premis perniagaan yang berada di bawah kawal selia pihak berkuasa tempatan (PBT) itu merangkumi tiga daerah di Kangar, Arau dan Padang Besar.

"Kita sudah memulakan pemantauan terhadap premis perniagaan di negeri ini kerana kita sudah memberikan peringatan kepada mereka untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan.

"Jumlah kompaun yang dikenakan adalah RM250 sama seperti langkah yang dilaksanakan oleh Majlis Bandar Raya Ipoh tetapi kita seboleh mungkin mahukan mereka (pemilik premis) ini mengibarkan Jalur Gemilang secara sukarela sambil bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Khas Rakan Strategik MPKPs di Bilik Gunasana, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Kebanyakkan pemilik premis perniagaan di bandar Kangar menyahut seruan kerajaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sempena bulan kemerdekaan. FOTO AIZAT SHARIF
Kebanyakkan pemilik premis perniagaan di bandar Kangar menyahut seruan kerajaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sempena bulan kemerdekaan. FOTO AIZAT SHARIF

Katanya, kewajipan pemasangan Jalur Gemilang terutama pada bulan kemerdekaan pada setiap premis perniagaan di negeri itu sudah termaktub dalam syarat lesen perniagaan MPKPs.

"Kita mempunyai baki seminggu lagi untuk menyambut Hari Kebangsaan dan setakat ini didapati 80 peratus pemilik premis perniagaan sudah mengibarkan Jalur Gemilang pada premis mereka.

"Namun, dalam tempoh ini juga, kita akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan supaya pemilik premis dapat menyahut seruan ini.

"Sekiranya mereka terus berdegil kita akan mengeluarkan kompaun kepada mereka selaras dengan syarat undang-undang kecil.

"Lazimnya bagi beberapa tahun sebelum ini, tempoh penguatkuasaan kibaran Jalur Gemilang premis perniagaan di Perlis hanya bermula pada 1 hingga 31 Ogos namun tempoh itu kini dipanjangkan sehingga Hari Malaysia pada 16 September," katanya.

Sementara, tinjauan di Jalan Barrack dan Jalan Indera Kayangan di Kangar mendapati hampir setiap lot kedai di jalan berkenaan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera negeri Perlis.

Terdahulu, Norazlan menyampaikan sijil penghargaan anugerah khas kepada 44 rakan strategik kepada MPKPs yang terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, bank serta petugas media di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 7:56 PM