PENCAWANG berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
PENCAWANG berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Labuan: Pujukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki daripada terjun dari sebuah pencawang telekomunikasi di Tanah Perkuburan Rancha-Rancha, di sini, semalam.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, lelaki yang dipercayai kurang siuman itu dilihat memanjat pencawang berkenaan.

Orang awam yang menyedari kejadian itu terus menghubungi JBPM bagi mendapatkan bantuan segera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Wilayah Persekutuan Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.59 petang.

Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, mangsa sedang memanjat pencawang berkenaan menuju ke puncaknya.

"Pasukan bomba terus bertindak mendekati mangsa sebelum berjaya memujuknya untuk turun ke tempat selamat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Balai Polis Rancha-Rancha untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi ditamatkan pada 4.31 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 8:25 AM