Yusof Abdul Rahman.
Yusof Abdul Rahman.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengguna bukan sahaja perlu bijak memilih, malah memahami struktur harga makanan dipesan sebelum memutuskan makan di sesebuah restoran.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, lazimnya kekeliruan timbul apabila pengguna tidak memahami struktur harga makanan di sesebuah tempat terutama restoran mewah atau destinasi pelancongan.

"Pengguna perlu ambil tahu dulu struktur harga makanan yang hendak dimakan sebelum membuat pesanan atau meminta pihak peniaga masak apatah lagi tempat pelancongan terkemuka macam Langkawi itu.

"Lebih baik kita tanya dulu harga mengikut berat atau banyak mana yang kita mahukan, jadi kita boleh pertimbangkan, kalau rasa mahal jangan makan situ," katanya ketika diminta mengulas isu harga makanan laut didakwa mahal di Langkawi, Kedah, hari ini.

Katanya, peniaga terutama pengusaha restoran makanan mewah juga perlu meletakkan struktur harga yang mudah difahami pengguna bagi mengelak berlaku pertikaian atau kekeliruan.

"Kalau ikutkan peraturan, semua restoran mesti pamerkan tanda harga, cuma kekeliruan berlaku apabila tidak letak harga ikan sudah dimasak dalam kilogram (kg).

"Justeru, peniaga perlu beritahu atau pamerkan harga yang tidak mengelirukan, contohnya kalau ikan bakar lebih baik letak dalam kg berbanding gram (gm) supaya pengguna faham dan jelas berapa anggaran harganya melainkan ketul mungkin baru sesuai diletakkan dalam gm," katanya.

Beliau berkata, pengguna boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika mendapati harga yang dibayar terlalu tinggi atau tidak munasabah.

"Pihak berkuasa biasanya membuat pemantauan untuk memastikan peniaga meletakkan tanda harga, namun tidak boleh mempertikaikan harga makanan yang dipamerkan.

"Namun apabila ada aduan, pihak berkuasa boleh mengeluarkan notis siasatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi melihat sama ada wujud unsur mengaut keuntungan berlebihan atau harga dicaj itu munasabah atau tidak," katanya.

Kebelakangan ini, ramai warganet berkongsi resit makanan laut di Langkawi yang didakwa mereka harganya mahal.

Perkongsian itu dibuat selepas seorang pelanggan sebuah restoran terapung di pulau peranginan terbabit memuat naik resit dengan jumlah bil keseluruhan makanan dan minuman mencecah RM1,759.50 termasuk ikan siakap seberat 7.48 kg sahaja mencecah RM1,196.80.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 5:40 PM