Asrol Awang

Kuantan: Bekas pengarah urusan sebuah syarikat didenda RM145,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana gagal melaporkan rasuah berjumlah RM33,850 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Cheung Wing Shing, 60, warganegara Singapura mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh penterjemah mahkamah.

Ahmad Zamzani juga memerintahkan Wing Shing menjalani hukuman penjara 16 bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, Wing Shing didakwa menerima suapan berjumlah RM26,850 daripada seorang pengarah urusan syarikat melalui pindahan wang dalam talian pada 23 Julai 2019 ke akaun syarikat miliknya.

Suapan itu adalah sebagai balasan kepada tertuduh kerana melantik syarikat berkenaan sebagai kontraktor projek pembekalan peralatan dapur di sebuah restoran bernilai RM2 juta, yang mana tertuduh mempunyai akses kepada proses pemilihan kontraktor untuk kerja terbabit.

Bagi pertuduhan pilihan kedua pula, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM7,000 melalui pindahan wang dalam talian pada 14 Januari lalu daripada seorang pengarah syarikat bagi pembayaran kerugian perjudian.

Wing Shing didakwa gagal lapor rasuah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini. Farizul Hafiz Awang
Wing Shing didakwa gagal lapor rasuah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini. Farizul Hafiz Awang

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah institusi kewangan di Genting Highlands, Bentong masing-masing pada 23 Julai 2019 dan 14 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) Akta sama.

Akta itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Peguam tertuduh, Datuk Joshua Kevin dalam rayuannya meminta mahkamah mempertimbangkan jumlah denda dikenakan terhadap anak guamnya itu dengan mengambil kira keadaan kesihatan dan kerjasama diberikan tertuduh sepanjang siasatan.

"Dia memberi kerjasama kepada SPRM dan mengaku bersalah sebaik sahaja tuduhan dibacakan kepadanya.

"Tertuduh menjalani tahanan enam hari dan ini adalah kesalahan pertamanya. Tertuduh adalah seorang dermawan yang banyak menderma dan membantu orang terutama ketika wabak Covid-19," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman sebagai tanda ketegasan SPRM dalam menangani isu rasuah di negara ini.

"Sejak akhir-akhir ini banyak blog dan laman media sosial yang selalu menyerang SPRM dan polis walaupun tidak ada bukti.

"Ini menunjukkan seolah-olah kita tidak serius dalam memerangi rasuah.

"SPRM tidak akan lagi bertolak ansur dengan mereka yang terbabit dengan rasuah," katanya.

Ahmad Zamzani kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM85,000 atau penjara 10 bulan bagi pertuduhan pertama dan denda RM60,000 atau penjara enam bulan atas pertuduhan kedua.

Tertuduh kemudiannya membayar denda ditetapkan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 3:36 PM