Asrol Awang


Kuantan: Polis kini menunggu laporan forensik berhubung dakwaan kes buli membabitkan pelajar perempuan tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, di sini yang tular di media sosial pada 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini, siasatan masih lagi berjalan dan beberapa laporan kes yang perlu diperkemaskan.

Katanya, siasatan itu termasuk memanggil beberapa individu untuk merekodkan keterangan mereka.

"Dalam kes ini, pada pendapat saya, tiada unsur gengsterisme dalam kes terbabit. Gengsterisme lebih merujuk kepada berkumpulan atau dua atau tiga orang terbabit.

"Oleh itu, ibu bapa tidak perlu risau dan jangan menghalang anak-anak meneruskan pelajaran mereka," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan Pahang (JPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid JPNP, Yusof Kassim.

Pada 12 Ogos lalu, seorang wanita menerusi laman sosial Facebook mendakwa anaknya dibuli apabila pakaian seragamnya diconteng dan rambut digunting ketika tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 5:22 PM