Dadah yang dirampas dari suspek. Foto Ihsan PDRM
Dadah yang dirampas dari suspek. Foto Ihsan PDRM
Mohd Hafizee Mohd Arop


PELAJAR lelaki tingkatan dua sebuah sekolah di Parit ditahan polis selepas pemeriksaan terhadapnya menemui dadah disyaki jenis syabu seberat 0.90 gram, Ahad lalu.

Dalam penahanan 1.15 tengah hari itu, remaja berusia 14 tahun berkenaan ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di atas motosikal di tepi jalan di Taman Parit Jaya, Parit.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebaik anggota memperkenalkan diri, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sehingga berlaku pergelutan namun suspek berjaya ditahan.

Katanya, pemeriksaan pada tubuh badan suspek kemudiannya menemui satu dompet di dalam poket seluar jeans dipakainya yang mengandungi satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu.

"Suspek kemudiannya ditahan dan ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methampetamin sebelum soal siasat dijalankan mendapati suspek dipercayai memperoleh dadah berkenaan dari seorang lelaki bernama Ijam.

"Suspek dipercayai baru tiga bulan menagih dan menjalankan kerja sampingan sebagai buruh kontrak rumah dengan upah RM10 sehari," katanya.

Mohamad Zainal berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 6:00 PM