RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiga lagi suspek yang ditahan semalam, berhubung kes serangan terhadap seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, Kuala Lipis, Pahang, Khamis lalu, direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, tiga suspek berusia lingkungan 30-an terbabit direman bermula 13 hingga 16 Ogos ini untuk membantu siasatan kes berkenaan.

"Tiga suspek terbabit akan direman selama empat hari sehingga 16 Ogos ini bagi membantu siasatan kes itu.

"Dua lagi suspek yang ditahan sebelum ini pula masih dalam tempoh reman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan semua suspek terbabit dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Terengganu serta Bandar Jengka, Pahang, bermula 1 pagi hingga 8 pagi, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ustaz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan cedera serta badan lebam selepas diserang lima lelaki pusat tahfiz berkenaan kerana tidak berpuas hati soal pembayaran makanan.

Dalam kejadian 5.10 petang Khamis lalu, suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz itu yang mana tiga orang menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit.

Susulan itu, polis menjalankan beberapa serbuan pada awal pagi kelmarin di kawasan Damak, Jerantut, Pahang, di mana dua lelaki ditahan manakala tiga lagi masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 1:06 PM