Warga Fakulti Pendidikan UiTM menerusi Projek artSMart siri 8 menyantuni murid Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang dengan bengkel pembelajaran, baru-baru ini. FOTO Ihsan Fakulti Pendidikan UiTM
Warga Fakulti Pendidikan UiTM menerusi Projek artSMart siri 8 menyantuni murid Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang dengan bengkel pembelajaran, baru-baru ini. FOTO Ihsan Fakulti Pendidikan UiTM

Shah Alam: Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil inisiatif menyantuni Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang, menerusi bengkel pembelajaran khusus untuk murid selain menyumbang kepada kelangsungan dan peningkatan kualiti kehidupan komuniti Orang Asli bermula November tahun lalu sehingga Januari tahun ini.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri Fakulti Pendidikan, UiTM, Prof Madya Dr Mohd Khairezan Rahmat berkata, menerusi projek yang berteraskan pembelajaran perkhidmatan komuniti (Service Learning Malaysia University for Society - SULAM), mahasiswa yang juga bakal pendidik dengan selian pensyarah selaku pakar bidang mengendalikan beberapa siri bengkel pembelajaran secara terbimbing bersama murid Orang Asli yang dikenal pasti.

Katanya, bengkel pembelajaran itu menggunakan kaedah dan pendekatan pembelajaran kreatif, efektif dan adaptif menerusi sumber serta bahan pengajaran yang inovatifbagi meningkatkan kualiti dan ekuiti pendidikan murid Orang Asli.

"Beberapa sesi bengkel pembelajaran sudah dilaksanakan di empat sekolah iaitu, Sekolah Kebangsaan Senderut, Sekolah Kebangsaan Kuala Koyan, Sekolah Menengah Kebangsaan (Felda) Sungai Koyan, dan Sekolah Menengah Kebangsaan (RPS) Betau di Kuala Lipis, Pahang pada 26 hingga 30 November tahun lalu membabitkan 40 warga Fakulti Pendidikan, UiTM.

"Secara keseluruhannya, bengkel pembelajaran yang termasuk dalam Projek artSMart siri 8 berlangsung selama tiga bulan itu, iaitu dari November 2023 hingga Januari 2024 akan disertai seramai kira-kira 300 murid," katanya.

Mohd Khairezan yang juga Pengarah Projek artSMart siri 8 berkata, projek berkenaan turut menyumbang kepada kelangsungan dan peningkatan kualiti kehidupan komuniti Orang Asli di kawasan terbabit.

Katanya, menerusi perlaksanaan aktiviti berbentuk kesihatan, riadah, sukan, kesenian dan kebudayaan, projek itu akan mendekati penduduk Orang Asli, khasnya di kawasan perkampungan berhampiran sekolah yang terbabit.

"Penyerahan sumbangan berupa keperluan makanan daripada 99 Speedmart selaku salah satu penaja projek ini turut diserahkan kepada Tok Batin dan penduduk-penduduk kampung yang terlibat bagi meringankan cabaran kehidupan mereka.

"Sehingga kini, projek ini sudah menyantuni lebih 400 Orang Asli dari hampir 20 perkampungan Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang.

"Diakhir projek ini kelak, karnival pendidikan Orang Asli dijadualkan diadakan pada Februari 2024. Karnival ini bakal menjadi platform untuk memperlihatkan amalan terbaik, bahan pembelajaran dan pengajaran inovatif, kaedah pengajaran kreatif, bahan dokumentasi interaktif, pembentangan hasilan penyelidikan dan paparan dapatan keseluruhan projek kepada masyarakat luar serta pemegang-pemegang taruh yang dikenal pasti," katanya.

Mohd Khairezan berkata, menerusi kerjasama pintar bersama Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan dan Institut Pendidikan Guru, Kampus Tunku Ampuan Afzan, Kuala Lipis Pahang, perojek berkenaan diyakni mampu mencapai objektifnya.

"Selain itu, kami turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 9:46 PM