RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lipis: Ustaz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan cedera serta badan lebam selepas diserang lima lelaki di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di sini, kerana tidak berpuas hati soal pembayaran makanan.

Dalam kejadian jam 5.10 petang semalam, suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz itu yang mana tiga orang menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 6.43 petang yang dibuat oleh seorang pelajar tahfiz berusia 11 tahun yang turut mengalami kecederaan di badan ketika bersama ustaz terbabit.

Menurutnya, punca kejadian akibat tidak puas hati terhadap ustaz berkenaan kerana pembayaran makanan di pusat tahfiz.

"Bertindak atas laporan polis, polis menjalankan beberapa serbuan pada awal pagi tadi di kawasan Damak, Jerantut di mana dua lelaki ditahan manakala tiga lagi masih bebas.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dadah dan mereka berdua juga positif methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 448 kanun sama.

"Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tiga lagi suspek yang masih bebas sudah dikenal pasti dan usaha mengesan serta menahan mereka sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 8:16 PM