PANTAI Port Dickson. FOTO Bernama
PANTAI Port Dickson. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Hotel-Hotel Malaysia Negeri Sembilan (MAH NS) menafikan industri perhotelan di negeri itu gulung tukar atau menutup operasi akibat ketiadaan pengunjung kesan daripada wabak pandemikl Covid-19.

Pengerusi MAH NS, Haziz Hassan berkata, walaupun diakui ketika ini tiada pengunjung yang datang atau menginap di hotel, namun pusat penginapan itu masih beroperasi seperti biasa dan tiada yang ditutup.

"Setakat ini, tiada kalangan hotel di Negeri Sembilan terutama di Port Dickson yang gulung tikar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan awal bulan lalu.

"Sekitar 35 hotel yang berdaftar dengan MAH NS masih lagi beroperasi seperti biasa, namun kita akui ketika ini tiada pengunjung yang datang atau menginap.

"Pihak hotel hanya mengurangkan operasi namun kakitangan di beberapa bahagian seperti pembersihan, keselamatan dan penyelenggaraan masih meneruskan tugas harian seperti biasa," katanya kepada NSTP ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Haziz berkata, semua pengusaha hotel di negara ini terkesan dengan pandemik ini dan menanggung kerugian, namun mereka masih mampu untuk terus bertahan.

Katanya, pihaknya berharap situasi ini tidak berlarutan terlalu lama, sebaliknya dapat pulih semula dalam tempoh terdekat.

"Kita yakin dan percaya apabila lebih ramai rakyat negara ini menerima suntikan vaksin menerusi Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan kerajaan, sektor perhotelan ini akan kembali pulih," katanya

HAZIZ Hassan. Foto Mohd Amin Jalil.
HAZIZ Hassan. Foto Mohd Amin Jalil.

Mengenai sebuah hotel di Port Dickson yang mengibarkan bendera putih tular di laman sosial, beliau berkata, ia adalah tanda solidariti terhadap kesusahan yang dihadapi oleh pengusaha hotel.

"Bendera putih yang dikibarkan adalah sebagai tanda untuk membantu mereka yang memerlukan bekalan makanan, bukan tanda mereka menutup operasi atau perlukan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 12:20 PM