Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang maut dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Sutan Nazrin Shah dekat Medan Gopeng di sini, malam tadi disifatkan seorang yang sangat merendah diri dan tidak gemar menonjol.

Perkara itu diakui bapa saudara Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Radzi, 57, selain menyifatkan arwah terlalu mesra dengan keluarganya.

"Kalau dia cuti, jika tidak ke Kuala Lumpur (selalunya) dia akan berkunjung ke rumah saya di Klebang Damai di sini, termasuk pada kali terakhir saya berjumpa dengannya iaitu pada Aidiladha lalu.

"Walaupun mesra, arwah tidak selalu bercerita mengenai hal kerjayanya dengan saya sebab dia bukan jenis seorang yang suka menonjolkan diri," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Menurutnya, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak perempuan serta dijangka akan disolatkan di Surau Al-Kauthar Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan surau itu yang juga terletak berdekatan dengan kediamannya.

Radzi berkata, dalam kalangan tiga beradik, hanya Allahyarham yang merupakan anak kedua dilihat mewarisi ayah mereka dengan berkhidmat sebagai tentera walaupun seorang beradiknya iaitu abang Allahyarham juga terbabit dalam dunia penerbangan.

"Ya, kalau ikut sejarah bapa dia (arwah) pernah terbabit dalam nahas kemalangan pesawat udara dan kini dia pula," katanya.

Difahamkan, Allahyarham Fajim, Leftenan Kolonel Mustafa Kamal Mohd Yusof juga terkorban dalam nahas membabitkan pesawat membabitkan helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Muara Sungai Lundu, Sarawak pada 1989.

RADZI ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) . FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
RADZI ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) . FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 3:34 PM