Mayat kanak-kanak lelaki ditemui di Sungai Plentong di sini, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Mayat kanak-kanak lelaki ditemui di Sungai Plentong di sini, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Selepas dua hari dilaporkan hilang, seorang kanak-kanak ditemukan lemas di Sungai Plentong di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun penemuan mayat kanak-kanak di sungai itu kira-kira 11.30 pagi, hari ini.

"Terdahulu, kita menerima laporan polis daripada ibu mangsa, seorang wanita tempatan berusia 40 tahun pada 6.49 petang semalam yang memaklumkan anak lelakinya keluar daripada rumah mereka di Taman Plentong, Masai.

"Kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dikatakan keluar rumah pada jam 3 petang kelmarin," katanya.

Beliau berkata, ibu kanak-kanak itu mendakwa anaknya itu tidak pulang ke rumah sehingga jam 9 malam sebelum membuat laporan polis.

Katanya, polis yang pada mulanya mengklasifikasikan siasatan sebagai kes orang hilang (OH) dan kini disiasat sebagai kes mati mengejut (SDR).

"Mayat mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 5:02 PM