Omar Ahmad.


Johor Bahru: Tiada sebarang unsur jenayah pada mayat seorang kanak-kanak yang ditemukan berbau busuk dan mereput di Sungai Kampung Desa Makmur berdekatan Jalan Anggerik Putih Majidee di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keadaan mayat kanak-kanak yang dianggarkan berusia tiga tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.

"Mayat yang kita jumpa ini ada organ yang hilang, kaki pun sudah tiada. Jadi kita masih tunggu laporan lengkap bedah siasat.

"Setakat ini kita tidak dapat kesan jantina, bangsa dan sebagainya. Setakat ini juga tiada elemen jenayah ditemukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Shamsul Khomari Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.43 pagi tadi daripada pihak polis bagi bantuan mengangkat mayat kanak-kanak yang dianggarkan berusia tiga tahun yang ditemui 1.5 meter berada dari tebing sungai terbabit.

Pihaknya percayai mayat itu sudah dimakan haiwan seperti biawak dan ikan. Malah belakang tengkorak sudah pecah, rambut dan otak juga telah tiada.

"Difahamkan, penemuan mayat oleh orang awam yang menyatakan terdapat bau sangat busuk dilokasi terbabit. Setakat minggu ini pihaknya tiada menerima laporan kanak-kanak hilang atau lemas di sungai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 4:21 PM