Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA) mencatatkan RM13 bilion nilai pelaburan komited setakat Jun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak RM6 bilion daripada nilai berkenaan sudah direalisasikan.

"Jumlah yang dicatat ini membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di Malaysia. Lebih RM10 bilion bakal dijana oleh pelaburan asing di wilayah ini untuk pembangunan pusat data.

"Pelaburan asing ini akan memberikan pertambahan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. Secara keseluruhannya, lebih 6,000 orang Keluarga Malaysia di wilayah ini mendapat manfaat secara langsung daripada semua inisiatif sosioekonomi yang telah dijalankan," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli IRDA kali ke-30, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sejak penubuhannya, IRDA merekodkan RM219 bilion dengan 60 peratus daripadanya (hampir RM221 bilion) adalah pelaburan domestik dan selebihnya RM148 bilion membabitkan nilai pelaburan asing.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, IRDA turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan.

"Pembangunan teknologi 5G yang juga komponen sokongan utama Pertanian Moden disegerakan di Kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara.

"Ini adalah sejajar dengan agenda kerajaan yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

"Pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai Agrifood Hub Malaysia," katanya.

Katanya, IRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia 2022 - 2030 yang bakal menjadikan wilayah ini sebagai salah satu tunjang utama menjana ekonomi negara dengan berkonsepkan pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan, kejutan dan tekanan masa depan.

"Pembangunan di wilayah ini penting bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 3:03 PM