NAJIB Razak tiba di Mahkamah bagi perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
NAJIB Razak tiba di Mahkamah bagi perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan bagi menggantung pelaksanaan perintah pemulangan harta yang disita daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak mereka dan beberapa individu lain.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan selaku pemohon dan peguam yang mewakili Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak Rosmah), anak mereka Nor Ashman Razak, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin sebagai responden pertama hingga kesembilan.

"Saya tidak nampak alasan munasabah berkenaan permohonan ini jadi saya menolak permohonan pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan perintah pemulangan harta," kata hakim itu.

Pada 8 November tahun lalu, Mohamed Zaini memerintahkan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama, 27 kenderaan dan wang tunai pelbagai mata wang yang disita daripada mereka yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong dalam hujahannya berkata, pihaknya memohon untuk penangguhan berikutan rayuan terhadap keputusan pelucuthakan itu sedang didengar di Mahkamah Rayuan.

"Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh 6 September ini sebagai pengurusan kes dan pihak pendakwaan masih menunggu rekod rayuan.

"Saya mohon mahkamah pertimbangkan... pihak kami sudah memfailkan permohonan rayuan dalam tempoh masa, jadi kami masih mempunyai kuasa terhadap barangan yang disita sehingga kes diputuskan di Mahkamah Rayuan," katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng dan isterinya berhujah pihak berkuasa membenarkan akses secara langsung kepada akaun bank milik pasangan itu susulan saman yang difailkan mereka terhadap dua bank berkenaan iaitu Maybank (cawangan Plaza Damansara) dan RHB Bank (cawangan Bangsar Shopping Centre Office Tower).

Tan berkata, beliau juga tidak tahu sekiranya wang di dalam akaun milik anak guamnya masih wujud kerana pihak bank telah membenarkan akses terhadap akaun sejak April lalu.

"Kami akan menulis kepada Jabatan Peguam Negara untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan itu, memandangkan mereka (Jabatan Peguam Negara) yang memberi arahan kepada pihak bank untuk membenarkan akses terhadap akaun anak guam," katanya.

Peguam Mardhiyah Siraj dan Azamuddin Aziz, masing-masing mewakili Najib, Riza Shahriz dan Nor Ashman memohon agar mahkamah menolak permohonan untuk menggantung perintah pemulangan harta atas alasan tidak wujud keadaan istimewa yang membenarkan penggantungan itu.

"Pemohon juga tidak lagi mempunyai kuasa untuk menangguhkan kerana perintah sita selama 12 bulan sudah tamat," katanya.

Pada 8 November 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta-harta itu kepada kerajaan dan permohonan penangguhan itu dibuat sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusan sama, Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak aset daripada lapan responden lain kerana mereka tidak membantah permohonan itu iaitu Mohd Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd dan tiga bekas pegawai 1MDB yang melarikan diri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 5:09 PM