GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Seramai 16,381 orang guru yang diambil melalui pengambilan khas sudah ditempatkan di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengisi kekosongan sedia ada.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, secara keseluruhannya, KPM mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan Gred DG41 secara 'one off' pada Jun lalu.

Mengulas lanjut beliau berkata, urusan 16,381 daripada keseluruhan guru itu sudah selesai dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

"Daripada jumlah itu, seramai 13,770 orang adalah lantikan secara tetap manakala 2,611 lantikan secara kontrak," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ma'Mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada pengambilan guru khas sudah dilaksanakan sepenuhnya.

Pada masa sama, Radzi berkata, KPM turut memperkenalkan kaedah kluster mata pelajaran bagi pengambilan guru secara 'one off' untuk membuka peluang kepada lebih ramai graduan untuk memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

Beliau berkata, graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster yang sama.

"Penggunaan kluster mata pelajaran akan diteruskan dalam urusan pengambilan yang seterusnya... kluster yang digunakan ini akan sentiasa dinilai dan ditambah baik dari masa ke semasa," katanya.

Radzi berkata, KPM sememangnya ingin melaksanakan opsyen menugaskan guru di sekolah yang paling dekat dengan tempat asal mereka termasuk di Sabah.

Beliau bagaimanapun berkata, namun itu berdepan kesukaran kerana bekalan guru yang ada pada KPM tidak mengikut opsyen yang diperlukan.

"Kita mahu guru ditempatkan paling dekat (dengan tempat asal mereka) supaya isu pertukaran tidak berlaku pada masa depan namun ada opsyen tidak mengikut bekalan menyebabkan kita terpaksa mengambil guru dari negeri lain ke Sabah.

"Namun KPM sekarang melaksanakan urusan pertukaran secara bersama, maksudnya apabila ada pertukaran, ada juga kemasukan bagi mengatasi (kekosongan) atau meminimumkan kesannya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ma'Mun yang mempersoalkan mengapa tidak menugaskan guru yang berasal dari Sabah untuk mengajar di negeri itu bagi menangani isu pertukaran yang mengakibatkan kekosongan di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 4:17 PM