Dr Mohd Radzi ketika sidang media khas di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Dr Mohd Radzi ketika sidang media khas di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki dan Zanariah Abd Mutalib


Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan kewujudan kuota dalam pengambilan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 (DG41) termasuk dalam kalangan guru kontrak perkhidmatan (COS).

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, berikutan itu tidak timbul soal bahawa ada graduan ikhtisas pendidikan 'mencuri' kuota yang sepatutnya diberikan kepada graduan tanpa ikhtisas pendidikan.

Menurutnya, sejak awal lagi kementerian itu sudah menegaskan keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai ikhtisas pendidikan.

Katanya, selepas kekosongan dipenuhi graduan ikhtisas pendidikan yang layak barulah kementerian itu menawarkan pula perjawatan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

Radzi berkata, senarai nama kira-kira 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan itu diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah untuk mendapatkan perakuan khusus bagi membolehkan mereka dipilih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

"SPP akan pilih berapa ramai ia nak. Yang paling penting ia perlu menyelesaikan dahulu pengambilan graduan ikhtisas pendidikan dan apa baki yang ada barulah ditawarkan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

"Jadi tidak timbul dakwaan yang mengatakan ada kuota 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan. Tidak ada perkara itu kerana tidak ada kuota.

"Apa yang berlaku ialah mereka ini disenarai pendek. Apabila disenarai pendek ia tidak bermakna mereka akan mendapat jawatan itu," katanya pada Sidang Media Khas di kementeriannya, di sini, hari ini.

Radzi berkata, turut dibangkitkan isu tiada graduan bukan ikhtisas pendidikan yang diterima memenuhi opsyen mata pelajaran tertentu.

Beliau berkata, dalam pemilihan itu juga keutamaan diberikan kepada graduan ikhtisas pendidikan sebelum boleh ditawarkan kepada yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.

Selain itu, beliau berkata, selepas menyelesaikan isu penawaran jawatan guru kepada graduan ikhtiasas pendidikan, kementerian itu mendapati ada kira-kira 200 calon yang layak namun belum mendapat surat dari Senat universiti masing-masing.

Katanya, mereka ini tidak boleh diketepikan kerana bukan salah mereka tidak menerima surat berkenaan.

"Secara teknikal kita mengambil mereka ini melalui CoS. Ini tidak ada kaitan dengan CoS graduan tanpa ikhtisas pendidikan. Kita gunakan laluan lain," katanya.

Sebelum ini, KPM dikritik termasuk didakwa CoS adalah sejenis penipuan manakala SPP didakwa tidak telus dalam pengambilan berkenaan

Sebuah portal mendakwa seorang calon menyatakan kuota pengambilan kali ini dikurangkan selepas pengumuman Radzi sebelum itu bahawa keputusan untuk 2,400 calon jaya COS akan diumumkan sebelum 31 Mei 2022.

Sabtu lalu, Radzi memaklumkan KPM melanjutkan kontrak 2,683 COS pengambilan 2020 yang akan tamat pada 9 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 8:13 PM