GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengesahkan seorang pensyarah yang dikaitkan dengan soalan kaji selidik berunsur lucah kepada penuntut perempuan, bukan pensyarah di universiti itu.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, UTM tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut dan penuntut terbabit juga adalah dari universiti awam berlainan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kes terbabit masih dalam siasatan oleh universiti berkenaan.

"Kita telah merujuk kepada penasihat undang-undang UTM, pelajar itu bukan dari UTM dan kursus (yang tertera di soal selidik) itu tidak ada di UTM.

"UTM tidak ada kaitan, pensyarah itu tidak pernah berkhidmat dengan UTM dan tidak dikenali, kami sudah periksa... kami juga tidak tahu tujuan (mengapa soal selidik itu menggunakan logo UTM)," katanya selepas ditemui pemberita di Majlis Konvensyen Pentadbir Universiti Awam Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kes tersebut yang tular di Twitter baru-baru ini selepas seorang wanita dipercayai pelajar tersebut membuat ciapan mengenai soal selidik berunsur lucah yang mempunyai logo UTM itu diberikan oleh pensyarahnya.

Ahmad Fauzi pada masa sama berkata, UTM menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut memandangkan universiti itu tidak terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat menerusi kenyataan semalam berkata, pihaknya mengesan satu laporan polis bertarikh 2 Jun tahun lalu, yang tular di Twitter membabitkan kejadian itu.

Beliau berkata, kertas siasatan berhubung kes itu sudah dibuka dan semua pihak terlibat dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Mohd Fadhil berkata, kertas siasatan juga telah dilengkapkan serta dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Perundangan Bukit Aman untuk arahan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, menerusi ciapan Twitter, wanita tersebut dipercayai pelajar berkenaan mendakwa kejadian membabitkan pensyarahnya itu berlaku sejak tahun lalu.

Pelajar itu turut berkongsi laporan polis yang dibuatnya dan tangkap layar perbualan dengan pensyarahnya menerusi aplikasi WhatsApp yang memintanya untuk menjadi responden kajian selidik bertajuk 'Soal Selidik Kesedaran Seks Di Kalangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi.'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 5:00 PM