KAWAD besi dipasang di pintu pagar UTM semalam berikutan pengumuman pelaksanaan PKPD akan dilaksanakan di kampus Skudai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KAWAD besi dipasang di pintu pagar UTM semalam berikutan pengumuman pelaksanaan PKPD akan dilaksanakan di kampus Skudai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 2,687 individu berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini, bermula hari ini sehingga 3 Jun nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulai, Zainor Adani yang juga Pegawai Daerah Kulai berkata, pihaknya akan mengambil alih pengurusan di dalam kawasan PKPD UTM, berkuat kuasa hari ini.

Katanya, Bilik Gerakan PKPD UTM diaktifkan bermula semalam bagi menyelaras pengurusan dalam kawasan PKPD yang diketuai oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulai.

"Data yang diperoleh Bilik Gerakan mendapati terdapat seramai 2,131 orang pelajar dan 237 keluarga iaitu kakitangan UTM yang membabitkan 556 orang berada dalam kawasan PKPD UTM, yang membawa jumlah keseluruhan seramai 2,687 orang.

"Sehingga semalam, sebanyak 54 kes positif daripada 351 saringan yang dilaksanakan manakala 223 negatif dan 74 masih menunggu keputusan dari Kluster Lingkaran Ilmu itu.

"Ujian saringan dan pengesanan kontak masih dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai dengan kerjasama Pusat Kesihatan UTM," katanya dalam kenyataan, di sini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kampus UTM, Skudai akan dikuatkuasakan PKPD selaras dengan Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar.

Semalam, pemasangan kawat besi berduri giat dilaksanakan diempat pintu keluar masuk UTM, dengan pintu utama menjadi satu-satunya laluan keluar masuk petugas khas PKPD namun ia dikawal ketat pihak berkuasa.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dilaporkan berkata, penuntut universiti itu tidak dibenarkan keluar kampus serta-merta selepas pengumuman pelaksanaan PKPD akan dilaksanakan di universiti itu, bermula hari ini.

Katanya, staf diminta untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh ini.

Hanya staf Pusat Kesihatan Universiti dibenarkan untuk bertugas dari kampus.

Bermula hari ini, kawalan di kampus UTM akan diambil alih sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Segala keperluan dan kebajikan staf serta penuntut yang tinggal di dalam kampus akan diuruskan oleh MKN.

Sementara itu, Zainor berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetuai hal berkaitan keselamatan di kawasan PKPD UTM yang akan dibantu oleh RELA dan Polis Bantuan UTM.

"Agihan sumbangan, bantuan dan bekalan makanan akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melalui Bilik Gerakan PKPD UTM.

"PKPD UTM membabitkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi termasuk MKN, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pejabat Daerah Kulai, PDRM, Kementerian Kesihatan (KKM) , APM, JKM, UTM, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) , Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ,RELA dan Pejabat Kadi Daerah Kulai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 10:57 AM