RAKAMAN CCTV menunjukkan wanita Arab di kedai emas di Batu Pahat. FOTO ihsan polis
RAKAMAN CCTV menunjukkan wanita Arab di kedai emas di Batu Pahat. FOTO ihsan polis
Essa Abu Yamin


POLIS memburu dua wanita Arab yang disyaki mencuri tiga utas rantai emas berharga RM24,000 di kedai emas di bandar Batu Pahat, 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kejadian 3.15 petang itu disedari selepas pembantu kedai memeriksa stok dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai emas berkenaan.

"Berdasarkan rakaman CCTV, suspek berpura-pura mahu membeli barangan kemas dengan meminta pekerja mengeluarkan beberapa rantai emas.

"Kedua-dua suspek dipercayai mengambil barang kemas dengan mengalihkan perhatian pekerja. Mereka kemudiannya meminta untuk beredar kononnya mahu menukar wang di premis pengurup wang berdekatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dua suspek datang ke kedai bersama dua lelaki yang menunggu di luar premis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan suspek.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4363300, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 3:18 PM