GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Kawasan di utara Semenanjung berpotensi dilanda hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang bermula esok sehingga 13 Julai ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa kawasan lain antaranya di Bintulu, Miri dan Limbang, Sarawak; barat Sabah dan Labuan turut akan dilanda situasi serupa sehingga 12 Julai ini.

Menurut kenyataan itu, jangkaan terbabit berdasarkan analisis dijalankan menerusi beberapa model ramalan oleh jabatan berkenaan.

"Berdasarkan analisis model METMalaysia iaitu Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), satu sistem cuaca tekanan rendah di barat Filipina dijangka bergerak menuju ke timur Vietnam dalam tempoh 10 hingga 13 Julai.

"Keadaan ini berpotensi membawa angin daratan yang kuat dan boleh menyebabkan kejadian garis badai seterusnya mengakibatkan hujan lebat berserta ribu petir dan angin kencang," katanya, hari ini.

METMalaysia juga memberi amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dan ketiga dikeluarkan pihaknya.

Katanya, ia membabitkan amaran di Laut China Selatan, Phuket dan Selat Melaka Utara yang berkuatkuasa sehingga 15 Julai ini.

"Justeru, orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turut aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 7:00 PM