Nadia Hamid


KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi melarang Lembaga Tabung Haji (TH) menguruskan jemaah haji Malaysia yang menggunakan visa Furada (persendirian) berkuat kuasa serta-merta.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporatnya berkata, peraturan berkenaan turut dilaksanakan kepada semua negara lain yang diberikan visa haji Furada.

“Tahun ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan untuk menempatkan jemaah haji yang menggunakan visa Furada dari pelbagai negara di satu penempatan khemah khas berasingan daripada penempatan negara asal jemaah.

“Inisiatif ini diambil oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi menguruskan jemaah haji visa Furada dengan lebih tersusun,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Kenyataan itu menyebut selain pengeluaran kuota rasmi sebanyak 30,200 yang diberikan kepada Malaysia, pihak kedutaan Arab Saudi juga mengeluarkan visa Furada kepada rakyat Malaysia secara individu di atas budi bicaranya.

Katanya, pemberian visa Furada itu dikeluarkan pada peringkat akhir fasa penerbangan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci.

“TH akur dan menghormati peraturan ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi demi menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah haji sedia ada serta jemaah visa Furada yang datang dari seluruh dunia.

“Bagi mematuhi pelan pengurusan risiko ditetapkan Kerajaan Arab Saudi, TH dikehendaki menyediakan sejumlah katil tambahan (kosong) di kesemua 18 bangunan penginapan jemaah haji Malaysia sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku kecemasan atau perkara tidak diingini,” katanya.

Justeru, TH menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana tawaran visa Furada dan pakej haji dari individu atau agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH kerana agensi itu hanya mengawal selia agensi yang berdaftar di bawahnya.

“Orang ramai perlu berhati-hati bagi mengelak kes penipuan yang sering berlaku semasa musim haji,” katanya.

Sebelum ini, bakal jemaah haji yang menerima visa Furada bebas untuk memilih syarikat pelancongan bagi urusan haji di Tanah Suci, namun ada juga bakal haji visa Furada yang memohon untuk mengerjakan haji dengan TH.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 12:29 PM