Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah menyerahkan 38,371 kad pengenalan gantian hilang atau rosak kepada rakyat negara ini sepanjang tempoh hampir tiga tahun kebelakangan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, penyerahan itu dibuat menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang mana kakitangan JPN turun padang mendapatkan maklumat berkaitan pemohon dan menyerahkan sendiri sebaik kad pengenalan gantian siap.

Beliau berkata, Mekar sudah dilaksanakan sejak lima tahun lalu dan mensasarkan pemohon yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang berada jauh di pedalaman serta tiada akses.

"Di bawah program Mekar Ehsan, kami menyediakan perkhidmatan 'phone in' khusus untuk pemohon yang tidak boleh bergerak serta hadir ke pejabat.

"Bagi mereka yang kehilangan kad pengenalan atau kad pengenalan rosak, boleh hubungi JPN dan kami akan buat gantian secara dalam talian. Pemohon hanya perlu hadir apabila dokumen itu siap.

"Ini antara perkhidmatan turun padang yang kita jalankan," katanya kepada media ketika ditemui di Kampung Gaung, Tendong di sini, hari ini.

Ruslin berkata, JPN akan mempergiatkan lagi program turun padang selepas ini kerana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, program itu terhenti seketika.

Terdahulu, beliau menyampaikan kad pengenalan gantian kepada Minah Ismail, 89, yang uzur.

Turut hadir Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Badrul Hisham Alias dan Pengarah JPN Kelantan Asrehan Ab Razak.

Mengulas mengenai ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan kad pengenalan ditiru, Ruslin berkata, pihaknya sentiasa membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa.

"Sebenarnya kita mempunyai banyak ciri-ciri keselamatan pada kad pengenalan itu sendiri yang mana sebahagiannya boleh dilihat secara fizikal manakala sebahagian lagi hanya dapat dikesan menggunakan peralatan khusus.

"Kami sentiasa menambahbaik ciri keselamatan bagi memastikan kad pengenalan lebih selamat dan tidak mudah dipalsukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 2:27 PM
DATUK Ruslin (dua kanan) diiringi oleh Asrehan (kanan) menyampaikan kad pengenalan gantian kepada wanita warga emas, Minah yang uzur dan tidak dapat ke kaunter JPN. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ruslin (dua kanan) diiringi oleh Asrehan (kanan) menyampaikan kad pengenalan gantian kepada wanita warga emas, Minah yang uzur dan tidak dapat ke kaunter JPN. FOTO Nik Abdullah Nik Omar