Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa sidang media selepas membuat pemeriksaan harga siling ayam dan telur ayam di pasaraya CHECKERS Seksyen 15 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa sidang media selepas membuat pemeriksaan harga siling ayam dan telur ayam di pasaraya CHECKERS Seksyen 15 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Shah Alam: Kerajaan mengambil kira kepentingan semua pihak khususnya penternak, peniaga dan pengguna sebelum menetapkan harga siling baharu ayam RM9.40 sekilogram berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga itu dibuat selepas perjumpaan dengan pelbagai pihak khususnya pemain industri selain pengiraan margin penjualan ayam oleh kementerian.

Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan penternak dan peniaga masih meraih keuntungan manakala pengguna mampu mendapat harga ayam yang berpatutan.

"Sebelum ke sini (Pasar raya Checkers), saya buat lawatan sebentar ke Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam berjumpa dengan peniaga ayam. Saya tanya peniaga di sana mengenai harga baharu siling ayam dan majoriti mereka berpuas hati dengan harga siling kali ini.

"Mereka mengatakan tiada keperluan lagi untuk mengenakan caj potong bagi meraih keuntungan daripada jualan ayam mereka," katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang di Pasar raya Checkers, Seksyen 15, di sini, hari ini.

Nanta berkata, walaupun tidak semua peniaga berpuas hati dengan harga siling baharu, keputusan itu perlu dibuat bagi melindungi semua pihak di samping menjamin bekalan rantaian ayam pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Nanta menegaskan penjual dan peniaga ayam perlu mempamerkan tanda harga caj tambahan upah memotong ayam supaya pengguna diberi pilihan sama ada untuk menggunakan khidmat itu atau tidak.

Katanya, kerajaan juga sedang mengkaji kaedah terbaik supaya bekalan barangan bersubsidi seperti ayam dan minyak masak paket satu kilogram hanya dinikmati rakyat negara ini terutama golongan sasar dan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 4:57 PM