Gambar hiasan. FOTO Bernama.
Gambar hiasan. FOTO Bernama.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Mulai Isnin ini, warga Malaysia yang pulang dari luar negara tidak perlu lagi melengkapkan Pas Pengembara (Traveller's Pass) dalam aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kelonggaran itu bagi memudahkan warganegara kembali, selain keadaan sistem kesihatan negara yang sudah berada pada tahap baik dan memuaskan.

"Sebagai permulaan, pemansuhan ini hanya terpakai kepada warganegara sahaja.

"Pemansuhan secara berperingkat untuk turut memberi kelonggaran kepada kumpulan-kumpulan lain seperti pemegang pas sosial, pas pelajar serta penduduk tetap, pada masa depan kelak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun Khairy berkata, ciri Pas Pengembara masih perlu dilengkapkan oleh pengembara bukan warga Malaysia, sebelum memasuki negara ini.

Katanya, ia bukan hanya untuk memantau kes Covid-19 dalam kalangan pengembara luar, malah untuk memudahkan Kementerian Kesihatan membuat pemantauan rapi ke atas penyakit berjangkit lain dari luar negara seperti cacar monyet.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 2:22 PM