SUNTIK vaksin covid-19. FOTO arkib NSTP
SUNTIK vaksin covid-19. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kerajaan menetapkan semua pengembara yang tiba dari luar negara perlu menjalani perintah kuarantin wajib bagi satu tempoh ditetapkan walaupun sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 11 Tahun 2020 bertarikh 30 Mac 2020, memutuskan bahawa semua pengembara warganegara dan bukan warganegara yang tiba di Malaysia dikenakan perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin diwartakan Kerajaan Malaysia.

Ia susulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih belum mengesyorkan pelalian vaksin Covid-19 digunakan sebagai pasport imuniti bagi sebarang perjalanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, lebih banyak maklumat dan kajian diperlukan bagi melihat kesan vaksin Covid-19 termasuk dalam mengurangkan penularan jangkitan oleh penerima vaksin serta tempoh imuniti seseorang yang menerima vaksin berkenaan.

Beliau berkata, pengembara yang mempunyai bukti penerimaan vaksin Covid-19 tidak terkecuali daripada keperluan untuk mematuhi langkah pencegahan jangkitan Covid-19 termasuk menjalani kuarantin wajib.

"Kriteria diguna pakai dalam penilaian risiko ini termasuk bukti sudah mengambil vaksin Covid-19 yang lengkap, pengembara dari negara berisiko rendah, mempunyai tempat kediaman bersesuaian untuk pelaksanaan kuarantin, tiada risiko pendedahan jangkitan kepada ahli keluarga dan keputusan ujian pengesanan Covid-19 yang negatif.

"Pengembara yang memenuhi kriteria itu diberi kelonggaran untuk menjalani perintah kuarantin wajib di kediaman namun tertakluk kepada syarat-syarat kuarantin ditetapkan," katanya tadi.

Dr Noor Hisham berkata, KKM ingin merujuk kepada isu tular di media sosial berkaitan permohonan untuk kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin bagi pengembara yang tiba dari luar negara.

Beliau berkata, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 dalam dan luar negara manakala saringan jangkitan wabak itu dalam kalangan pengembara dari luar negara turut diteruskan di semua Pintu Masuk Antarabangsa Malaysia.

Katanya, orang ramai juga akan terus dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini mengenai situasi Covid-19 di dalam negara serta langkah-langkah yang dilaksanakan bagi mengekang penularan jangkitannya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sejak 1 Januari hingga 27 Mac lalu, sebanyak 2,743 permohonan untuk kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin diterima dengan 409 permohonan diluluskan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 5:27 PM