Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pengembara yang menerima dos penggalak hanya perlu menjalani tempoh kuarantin selama lima hari, berkuat kuasa Isnin ini.

Sementara, pengembara yang lengkap vaksinasi tetapi tiada dos penggalak perlu dikuarantin selama tujuh hari, manakala mereka yang tidak divaksin dikuarantin selama 10 hari.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melaksanakan perintah pengasingan ke atas pengembara yang memasuki Malaysia dari luar negara termasuk warganegara, pemastautin tetap Malaysia, ekspatariat atau kor diplomatik atau mana-mana orang asing lain yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen.

Menurutnya, perintah ini dikuatkuasakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

"Berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kemasukan pengembara dari luar negara, KKM membuat penilaian semula tempoh pengawasan dan pemerhatian dan memutuskan ketetapan terkini.

"Pengembara yang menerima dos penggalak hanya perlu menjalani tempoh kuarantin selama lima hari dan menjalani ujian RT PCR Covid-10 dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif.

"RT PCR Covid-19 juga perlu dibuat pada hari ketibaan dan pada hari keempat atau RTK AG yang diseliakan oleh petugas kesihatan pada hari kelima dan pelepasan diberikan jika negatif," katanya pada sidang medianya hari ini.

Khairy berkata, mereka yang tiada dos penggalak pula perlu menjalani kuarantin tujuh hari dan menjalani proses sama dalam ujian RT PCR Covid-19, sementara mereka yang tidak lengkap atau belum divaksinasi perlu dikuarantin 10 hari.

"Selain itu sebagai langkah penambahbaikan proses kerja di pintu masuk antarabangsa (PMA), KKM turut membuat ketetapan seperti semua pengembara yang tiba dari luar negara akan diberikan digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

"Dengan itu, pengembara tidak perlu lagi dipakaikan gelang pengawasan biasa (warna pink)," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun bagi pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi dan dibenarkan menjalani perintah kuarantin di kediaman, mereka masih akan dipakaikan gelang pengawasan digital.

"Pengurangan tempoh kuarantin bagi pengembara dari luar negara ini akan mula berkuat kuasa pada Isnin ini.

"Sementara itu, KKM juga bersetuju untuk mengeluarkan penggunaan pengimbas suhu daripada prosedur operasi standard (SOP).

"Cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pemakluman dan kemas kini dokumen rasmi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:01 PM