FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Polis berjaya menahan semula orang kena tahan (OKT) yang meloloskan diri ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek lelaki berusia 30 tahun sebelum itu dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama bagi pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh untuk mencuri.

Menurutnya, suspek kemudiannya dapat meloloskan diri di kawasan Ulu Sepetang pada 8.05 pagi.

"Susulan itu, pihak polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun, tindakan pantas pihak polis berjaya membuat tangkapan semula ke atas suspek di sebuah pondok kayu di kawasan Kampung Redang Panjang, Selama pada 2.45 pagi tadi.

"OKT kemudiannya direman selama empat hari yang diperoleh daripada Mahkamah Majistret Taiping pagi ini bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam satu kenyataan media.

Osman berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati OKT itu mempunyai dua kes, masing-masing satu samun berkawan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang berlaku di sini dan satu kes dikehendaki mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan di Ayer Keroh, Melaka.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Menurutnya, orang ramai juga digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 4:25 PM