KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan itu.
KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan itu.
Mohd Azam Shah Yaacob

LELAKI maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan treler di Kilometer 6.4 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), dekat Subang Jaya, jam 7.30 pagi tadi.

Mangsa, Fauzi Mustafa, 35, yang memandu Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpangnya, Mohd Hasnan Mohd Ali, 57, patah tangan kanan dan pemandu treler, Mazle Mahad, 33, pula cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan berlaku apabila treler berkenaan yang menuju arah USJ terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, sebaik memasuki laluan bertentangan, treler itu terus merempuh sisi kanan Perodua Myvi terbabit sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

“Kesemua mangsa termasuk yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Shah Alam bagi mendapatkan rawatan serta untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saksi kejadian itu diharap dapat menyalurkan maklumat kepada polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 2:52 PM