AMSYAR berkongsi kejayaan bersama dari kiri kakak, Nurul Aqilah, ibu Sapina Ramli dan bapa Hadzeri Abd Manap.
AMSYAR berkongsi kejayaan bersama dari kiri kakak, Nurul Aqilah, ibu Sapina Ramli dan bapa Hadzeri Abd Manap.
Norzamira Che Noh

Terpaksa menunggu di dalam kelas bersama empat rakan lain pada majlis konvokesyen sekolah menengah kerana tidak memperoleh 'pointer' minimum membuatkan graduan Diploma in Culinary Arts Management and Science University (MSU) nekad mengejar kecemerlangan.

Ketika itu, Amsyar Mustaqim Hadzeri, 21, yang juga penerima Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen MSU ke-28 nekad mahu meneruskan pengajian ke peringkat Diploma seterusnya dapat menghadiri konvokesyen dengan keputusan yang cemerlang.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mendapat tawaran dari sebuah universiti awam bagaimanapun saya terpaksa menolak kerana sudah tekad mahu menyambung diploma di MSU dalam bidang seni kulinari.

"Pada pendapat saya, jangan kecewa kalau gagal kerana saya pernah melalui fasa itu. Justeru, apa yang saya dapat ini (Anugerah Presiden), sudah cukup untuk membanggakan ibu ayah, adik beradik serta guru," katanya ketika ditemui selepas sidang pertama Majlis Konvokesyen MSU ke-28 di sini, baru-baru ini.

Amsyar berkata, pemilihan jurusan pengajian juga penting yang mana untuk cemerlang pelajar perlu memilih apa yang diminati kerana minat itu akan mendorong kepada kesungguhan serta kerja keras.

Katanya, pandangan ibu bapa juga perlu diambil kira kerana ia penting jika anak itu ingin berjaya," katanya yang kini menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Seni Kulinari di MSU.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:35 AM