Nazdy Harun

Kuala Berang: Harga siling baharu bagi ayam segar yang akan diumumkan mengambil kira kepentingan pengguna dan kelangsungan peniaga secara seimbang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, harga siling baharu itu dilihat sebagai situasi menang-menang antara pengguna dan pemain industri ternakan terbabit.

Menurutnya, kerajaan memberi jaminan harga siling baharu ayam tidak akan mencecah RM15 sekilogram seperti yang diperkatakan sesetengah pihak sebelum ini.

"Memang akan berlaku sedikit peningkatan daripada harga siling sebelum ini iaitu RM8.90 kerana turut mengambil kira lonjakan kos dialami penternak, namun harga baru akan diumum kelak masih mampu dibeli pengguna.

"Kalau harga mahal... tentu permintaan akan kurang dan pemain industri menyedari hal berkenaan. Oleh itu bagi memastikan situasi menang-menang, kita (kerajaan) akan memastikan harga siling baharu ayam tidak membebankan pengguna.

"Alasan mereka (pembekal) iaitu pelbagai kos bahan mentah antaranya makanan ayam dan pengangkutan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Iman dan Bilal Daerah Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam proses melengkapkan siasatan membabitkan isu caj sampingan antaranya caj menangkap ayam di ladang, pemotongan dan sebagainya.

Mengulas mengenai minyak paket satu kilogram, beliau berkata, buat masa ini kouta minyak masak paket adalah sebanyak 60,000 metrik tan sebulan.

Menurutnya, kerajaan menyedari permintaan terhadap minyak paket semakin bertambah berikutan harga minyak botol berlaku kenaikan harga antara RM7 hingga RM8 bagi setiap kilogram.

Katanya, pihaknya kini memohon kepada Kementerian Kewangan untuk kouta tambahan sebanyak 10,000 metrik tan bagi memenuhi pasaran dan keperluan, namun sebarang keputusan bergantung kepada pihak berkenaan.

Rosol Wahid, beramah mesra bersama iman dan bilal selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Iman dan Bilal Derah Hulu Terengganu. FOTO NAZDY HARUN.
Rosol Wahid, beramah mesra bersama iman dan bilal selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Iman dan Bilal Derah Hulu Terengganu. FOTO NAZDY HARUN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 1:58 PM