Ahmad Rabiul Zulkifli


Hulu Terengganu: Kerajaan memberi jaminan harga barang keperluan harian akan dipantau secara berterusan supaya tidak melambung tinggi pada Ramadan ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, beliau sudah bermesyuarat dengan pihak berkaitan bagi memastikan harga barang keperluan tidak naik selain penawaran barangan mencukupi.

"Seperti isu minyak masak bersubsidi yang dihadkan pembelian tidak melebihi tiga (bungkusan) plastik sekarang, kami (KPDNHEP) mengesahkan mengenainya.

"Kami memang meminta pasar raya dan pembekal mengehadkan jualan minyak masak kepada pengguna.

"Arahan itu dikeluarkan supaya penawaran minyak masak bersubsidi mencukupi di pasaran kerana permintaan agak tinggi sejak harga minyak sawit meningkat," katanya.

Beliau berkata dimikian ketika ditemui selepas menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, lambakan telur ayam sejak isu pencemaran Salmonella Enteritidis (SE) menjadikan harga telur turun berbanding sebelum ini.

DATUK Rosol Wahid menerima suntikan vaksin dos kedua di Klinik Kesihatan Kuala Berang, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
DATUK Rosol Wahid menerima suntikan vaksin dos kedua di Klinik Kesihatan Kuala Berang, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori

"Ia bagus kerana isu lambakan telur ayam secara tidak langsung menstabilkan harga telur di pasaran sekarang.

"Ramai pengguna yang gembira dengan keadaan itu kerana mereka boleh membeli telur ayam pada harga yang rendah berbanding biasa.

"Cuma keadaan itu tidak digemari peniaga telur ayam yang mungkin mengalami kerugian tetapi ia hanya bersifat sementara sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 5:17 PM