LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Semalam anak saya sudah buka mata tapi masih mamai. Hari ini semakin stabil dan beri respon cepat bila dipanggil nama," kata ibu kepada kanak-kanak lelaki yang sebelum ini kritikal kerana kandungan dadah dalam badan.

Wanita berusia 36 tahun itu berkata, anaknya yang berumur 4 tahun sudah dipindahkan ke wad biasa kelmarin dalam keadaan masih belum sedarkan diri namun semakin baik menjelang petang semalam.

"Hari ini dia sudah boleh memberi respon cepat sebaik nama dipanggil walau kelihatan masih lemah.

"Itu sudah mencukupi bagi saya kerana hampir empat hari keadaannya yang kritikal sangat membimbangkan kami sekeluarga," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dia yang menghidap kanser payudara tahap akhir berkata, doktor belum memaklumkan bila anaknya dibenarkan pulang kerana ingin membuat pemantauan berterusan.

Katanya, dengan keadaan kesihatannya, dia berasa sukar kerana perlu menguruskan anak seorang diri tanpa bantuan keluarga.

"Selera makan saya pun sudah kurang tapi sangat bersyukur kerana anak sangat baik dan dia memang tidak meragam.

"Alhamdulillah, saya berasa sangat lega kerana kami sudah melepasi saat yang mendebarkan dan saya anggap ia satu keajaiban kerana anak kembali sedar," katanya.

Sebelum ini media melaporkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal kerana terdapat kandungan methampethamine dalam badan.

Seorang buruh yang juga saudaranya berusia 30 tahun ditahan reman sehingga 26 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan

Seluruh tubuhnya pucat, seolah sudah meninggal dunia - Ibu

Kanak-kanak 4 tahun kritikal, ada dadah dalam badan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 12:03 PM