LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang sebelum ini kritikal akibat kandungan methamphetamine dalam badan masih menggunakan alat bantuan pernafasan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kanak-kanak berkenaan sudah menunjukkan maklum balas yang baik.

"Mangsa menunjukkan maklum balas yang baik, namun masih menggunakan alat bantuan pernafasan. Hari ini kita masih sambung reman suspek yang juga saudara kepada mangsa selama lima hari.

"Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh kerana kita mahu lihat kajian oleh pihak psikilogi kanak-kanak selain memanggil Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) untuk membuat siasatan.

"Kanak-kanak itu tidak dapat bercakap dengan baik, mungkin kita akan dapat sesuatu daripada mangsa kerana kita mahu memastikan bagaimana mangsa terambil dadah," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media sebelum ini melaporkan mangsa kritikal akibat terdapat kandungan dadah dalam badan dan sedang menerima rawatan di hospital.

Mangsa yang tinggal di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) pada 5 pagi Ahad lalu oleh ibunya untuk rawatan sebelum pihak hospital melaporkan kepada polis.

Pemeriksaan dibuat mendapati dalam badannya terdapat kandungan dadah jenis methampethamine.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 2:51 PM