FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Empat murid Darjah 5 mengalami loya selepas gas pada penunu bunsen bocor ketika menjalankan eksperimen di makmal sebuah sekolah rendah di USJ 14, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.20 tengah hari tadi.

"Seramai 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan bahawa terdapat kebocoran gas penunu bunsen jenis mudah alih di makmal terbabit semasa menjalankan eksperimen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan empat murid masing-masing berusia 11 tahun mengalami loya dan dihantar ke Hospital Shah Alam sebelum pihak bomba tiba.

"Sebaik tiba, anggota bomba bertugas membuka tingkap dan pintu di makmal berkenaan untuk melepaskan gas bocor sebelum memastikan keadaan selamat di kawasan berkenaan. Difahamkan keempat-empat murid berkenaan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 4:18 PM