GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pelakon lelaki direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang pengawal keselamatan di kondominium di Segambut, di sini, kelmarin.

Suspek berusia pertengahan 30-an yang juga penghuni di kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang pengawal keselamatan dalam kejadian pada jam 8.30 malam, Khamis lalu.

Sumber berkata, kejadian berlaku apabila suspek meminta rakannya membeli minyak masak.

"Ketika rakan suspek hendak menghantar minyak masak kepadanya, pengawal keselamatan di kondominium berkenaan tidak membenarkan rakannya itu masuk.

"Berlaku pertengkaran mulut di antara kawan suspek dan pengawal keselamatan di situ. Suspek kemudian turun ke tempat kejadian dalam keadaan marah terus menumbuk dan menendang muka, dada dan perut mangsa," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Sentul, memberkas suspek di kediaman sama malam semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 10:21 PM