TIMBALAN Ketua Pengarah Pengurusan dan Pembangunan Kemas Malaysia, Rafea'ah Nahar (kiri) menyampaikan elaun latihan kepada Rahmah. FOTO Azrul Edham
TIMBALAN Ketua Pengarah Pengurusan dan Pembangunan Kemas Malaysia, Rafea'ah Nahar (kiri) menyampaikan elaun latihan kepada Rahmah. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Seorang ibu tunggal tujuh anak yang sebelum ini bekerja mengambil upah memotong rumput bersama anak perempuannya kini dapat menarik nafas lega selepas menerima sumbangan peralatan untuk berniaga kuih.

Rahmah Abdullah, 46, antara 10 asnaf yang terpilih menerusi Program Usahawan Asnaf Berdikari Kemas Negeri Sembilan 2022 anjuran Kemas dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) yang berlangsung dari 15 Jun dan berakhir semalam.

Rahmah berkata, sebelum ini dia dan suami berniaga nasi ayam dan kuih di kawasan rumahnya di Kampung Senama Ulu, Rembau sebelum suaminya Nur Affendy Norman meninggal dunia pada 2018 akibat tekanan darah tinggi.

"Suami meninggal ketika anak bongsu baru berusia tiga bulan dan saya hilang tempat bergantung. Saya pula tidak boleh keluar bekerja kerana perlu menyusukan anak bongsu dan menguruskan enam anak lain.

"Sejak itu saya mendapat bantuan dari baitulmal. Pada 2019 saya mula berniaga semula dengan berbekalkan peralatan yang ada sebelum terpaksa berhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi menyara keluarga, saya mengambil upah memotong rumput dan dibantu anak perempuan yang berusia 17 tahun. Ada hari tertentu tiada kerja kerana hujan, ada hari saya dapat RM50 sehari," katanya ketika ditemui.

Majlis penutup program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johol, Saiful Yazan Sulaiman di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Kuala Pilah, di sini, semalam.

Peserta program, Mohammed Md Sharif, 48, yang pernah disahkan positif Covid-19 tahap lima dan terpaksa ditidurkan berkata, pengalamannya menempuhi detik cemas itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berniaga bagi menyara keluarga.

"Alhamdulillah saya terpilih dalam program ini. Mereka mengajar kami cara untuk lebih maju dalam perniagaan supaya suatu hari kami dapat keluar daripada kategori asnaf.

"Malah mereka memberikan bantuan berbentuk ilmu dan peralatan untuk berniaga supaya kami dapat menambah baik perniagaan dilihat lebih bermanfaat berbanding memberikan sumbangan dalam bentuk wang tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 9:00 AM